Sunday 15 April 2012

6 Langkah Muhasabah En. Nafsu...


Bismillahirrahmanirrahim,

            Salam mujahadah diri penulis ucapkan buat semua para hati  yang ketika dan saat ini sedang berusaha membaiki hati demi mencapai cinta Ilahi…bila kita bercakap tentang hati, pasti sedikit sebanyak akan dikaitkan dengan N.A.F.S.U… Benar bukan?? sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan alim ulama dan ahli agama berpendapat, nafsu  adalah batu penghalang bagi memastikan perlakuan hati untuk tidak sampai kepada Allah. Selagi hawa nafsu masih bermaharajalela didalam hati, Allah tidak memasukinya kecuali nafsu itu dimatikan..



              sekiranya kita sedar, dalam kehidupan seharian kita pasti kadang-kadang kita rajin untuk melakukan sesuatu ibadah itu dan kadang-kadang teramat malas sekali… benar bukan?? Sebenarnya, itulah keadaan  nafsu kita yang sedang dikuasai sama ada oleh malaikat atau syaitan…

Pelbagai cara yang dapat kita ambil dalam usaha kita untuk mengawal nafsu kita demi mencapai cinta-NYA… penulis percaya, tatkala ini pasti semua semakin yakin dalam diri mereka bahawa hanya cinta-Nya lah yang amat kita perlukan dalam hidup ini bukan?? Tapi kadangkala kita sering tewas dalam mengawal nafsu kita untuk mengajaknya  melakukan amalan yang dapat mendekatkan lagi diri kita kepada-Nya.. tidak mengapa, yang penting teruskanlah  mujahadah diri…

sejujurnya, kita tidak mampu mematikan nafsu yang terdapat dalam diri kita kerana nafsu juga ada yang sukakan kebaikan sekiranya kita bijak mengawalnya… jadinya, mari kita sama-sama  berusaha mengawal nafsu dalam diri kita agar sentiasa berada dalam kondisi cinta untuk melakukan kebaikan…

insyaAllah pada entri kali ini, sudilah penulis berkongsi ilmu yang penulis perolehi dalam sebuah buku “Dasyatnya Energi Syukur, Istighfar dan Muhasabah” karya Muhammad Azhar iaitu mengenai

:: ENAM TAHAP MUHASABAH NAFSU ::



.: TAHAP PERTAMA :. Musyarathah (Mengajukan Syarat)

                  Jika kita ingin berubah, cubalah kita bermula setiap pagi… tetapkan matlamat untuk berubah itu bermula dari pagi lagi agar ia dapat dijadikan kayu ukur kita sepanjang hari. Jika seseorang hamba selesai mengerjakan solat subuh, selayaknya dia mengosongkan hatinya untuk mengajukan beberapa syarat. Contohnya, hari ini seseorang itu berazam untuk solat awal dan berjemaah..


Dia katakan kepada jiwanya, “Aku sudah tidak punya masa lagi untuk berubah.. Bermula hari ini aku perlu ubah diriku jadi lebih baik.., “Wahai jiwaku, seriuslah hari ini untuk memenuhi pundi-pundi amalmu dan jangan engkau biarkan ia kosong. Jangan engkau berputus asa, bersantai-santai dan berbuat sesuka hatimu, sehingga engkau kehilangan darjat ‘iliyyin, sementara orang lain mendapatkannya…hari ni kau kena pastikan yang solat fardhu 5 waktu engkau berjaya solat awal      
    dan secara berjemaah…”

.: TAHAP KEDUA :. Muraqabah (Merasa Diri Dipantau Allah)

              Jika seseorang telah mewasiatkan dirinya dan memberikan beberapa syarat, tidak tersisa pada dirinya selain Muraqabah (merasa diawasi) dan merasa dirinya dipantau (Mulahazhah). Tersebut dalam hadith sahih mengenai tafsiran ihsan, ketika Rasulullah SAW  ditanya tentangnya. Baginda menjawab, “Ihsan iaitu engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, sekalipun engkau tidak melihat-Nya, yakinlah Allah pasti melihatmu..”

Muraqabah seorang hamba ketika menjalankan ketaatan ialah dia melakukannya dengan ikhlas dan muraqabahnya ketika melakukan kemaksiatan adalah dengan bertaubat, istighfar, menyesal dan bertekad meninggalkannya. Muraqabahnya terhadap masalah yang mubah (masalah neutral antara yang dilarang dan yang diperintah) adalah dengan memperhatikan adab dan kesyukuran atas kenikmatan yang dikurniakan … kesemua itu tidak kosong daripada muraqabah.

Jadinya, bila kita nak berubah dan pada masa yang sama syaitan sentiasa cuba mencucuk jarum dalam hati kita untuk kembali mengikut hawa nafsu, kita ingat balik yang Allah lihat apa yang kita sedang lakukan dan Allah dengar segala syarat yang kita telah buat itu… cubalah hadirkan rasa ihsan dalam diri kita ya…

.: TAHAP KETIGA :. Muhasabah (Mengaudit selepas Beramal)

                     Sebagaimana seorang hamba sebaiknya mempunyai waktu pagi untuk mengajukan syarat-syarat terhadap dirinya, selayaknya dia juga mempunyai waktu untuk mengaudit dan menilai dirinya atas semua yang telah dilakukannya, sebagaimana yang dilakukan seorang peniaga di dunia bersama rakan kongsinya di akhir setiap tahun, bulan atau hari…

Sebelum tidur, cuba kita refleksi balik sama ada apa yang kita syaratkan itu sudah berjaya dicapai untuk hari ini atau sebaliknya.. jika tidak, azamkan pada diri untuk kita lakukan yang lebih baik pada keesokan hari agar kita berjaya mengawal nafsu yang ada dalam diri kita ini…



.: TAHAP KEEMPAT :. Mu’aqabah (Menghukum diri sendiri kerana melakukan suatu kesalahan atau berbuat kebaikan yang sedikit)

             Jika kita refleksi diri kita dan mendapati masih sama sahaja keadaan kita tidak mampu untuk mengawal hawa nafsu dalam diri kita, cubalah kita menghukumnya dengan sesuatu agar sedikit sebanyak dapat memberi  peringatan kepada diri kita untuk tidak melakukannya lagi… contohnya, jika kita berazam untuk solat berjemaah di masjid tetapi oleh kerana kita tidak sempat disebabkan oleh terleka melayari laman mukabuku (facebook), jadi kita hukumnya dengan cara membatalkan terus penggunaan internet di rumah… Nampak mudah tetapi pasti sukar untuk kita laksanakannya kan??

Sebagaimana diriwayatkan daripada Umar al-Khattab, suatu hari dia berangkat ke sebuah kebun dan kemudian dia kembali. Ketika itu orang Islam sedang menunaikan solat Asar. Dia lalu tersedar dan berkata, “Tadi aku berangkat ke kebun, dan ketika pulang ternyata semua orang telahpun solat Asar (beliau terlambat mengerjakannya). Sebagai gantinya, maka kebunku ini aku sedekahkan untuk manfaat orang-orang miskin…”

.: TAHAP KELIMA :. Mujahadah (Memaksimumkan)

                  Jika seseorang telah menilai dirinya sendiri dan masih melakukan kemaksiatan, sebaiknya dia menghukumnya kerana kesilapannya itu. Dan jika dia mendapati dirinya malas melakukan kebaikan atau malas berwirid, hendaklah dia menggantikannya dengan wirid lain. Sebagaimana yang dilakukan Ibnu Umar, jika dia tertinggal solat berjemaah, dia akan menghidupkan keseluruhan malamnya (dengan mengerjakan solat sepanjang malam). Ini sama ertinya dia menggunakan sepenuhnya jiwa dan memaksanya semaksimum mungkin..

Contoh mudah seperti kita berazam untuk sentiasa solat awal… oleh kerana kita selalu terleka kerana menonton televisyen, kita wajibkan diri kita untuk berada di atas sejadah 10 minit sebelum masuknya waktu solat… insyaAllah hasrat kita untuk solat awal pasti tercapai juga setelah mujahadah keempat tadi kita telah membatalkan penggunaan internet...sudah tiada ganngguan lagi dalam nafsu kita untuk melaksanakan apa yang kita azamkan dalam diri itu…



.: TAHAP KEENAM :.Mu’atabah (Mencela dan Mengkritik Jiwa)

                   Kata Anas: Aku pernah mendengar Umar al-Khattab yang ketika itu masuk ke dalam sebuah kebun, aku dan dia dipisahkan oleh tembok. Dia berkata : “Hi, Umar al-Khattab amirul mukminin, wahai Umar, engkau bertakwa kepada Allah atau Allah menyeksamu!”

Contohnya, walaupun kita telah membatalkan penggunaan internet, berada di atas sejadah 10 minit lebih awal, tetapi belum berjaya mengawal nafsu, cubalah kita kritik jiwa kita agar kembali beringat semula apa yang kita inginkan sebenarnya… contohnya, “hi khairi, kata tadi nak berubah jadi lebih baik untuk kawal nafsu kau dengan  solat awal dan berjemaah tapi  nampak macam sama ja kau macam dulu… malu la khairi pada Pencipta kau…!!”



Akhir kalam, semoga kita semua berjaya dalam mujahadah nafsu ini… sama-samalah kita berusaha menjaga hati kita dengan sebaiknya… sebenarnya, percayalah bila kita nak capai cinta Ilahi, mujahadahnya amatlah perit kerana kita pasti tidak akan terlepas dengan ujian darinya-Nya sama ada ujian kesihatan, ujian hati, keluarga atau sebagainya… semua itu adalah kayu ukur sejauh mana sabarnya kita menghadapi ujian dari-Nya demi cinta-Nya yang teramat mulia itu…ingatlah selalu bahawa “mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis… ”

Kata khalifah Umar al-Khattab: “Nilailah dirimu ketika berada dalam kelapangan sebelum kesusahan. Sesungguhnya sesiapa yang menilai dirinya sendiri, ia redha dan senang hati apabila datang kesusahan. Barangsiapa yang selalu lalai didalam hidupnya kerana sibuk dikuasai nafsu, ia menyebabkan penyesalan dan kerugian..”

Sinarilah hatimu dengan cahaya kecintaan kepada-Nya… wallahua’lam..;-)





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kembaraku di Bumi Allah ini Selama...

Daisypath Happy Birthday tickers

:: Yuk Berbakti Kepada Makhluk-Nya ^_^