Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Thursday, 2 April 2015

Ibrah Dari Sebuah Sejarah : Perang Badar

Sebagai pengenalan,. Perang badar di ambil nama sempena daripada peristiwa yang berlaku di tempat yang bernama Badr. Badr merupakan sebuah bandar kecil di barat daya Madinah, iaitu di pertengahan jalan di antara Makkah dan Syria. Bahagian selatannya tinggi (al-‘Urwah al-Qaswa), sedangkan di bahagian utaranya rendah dan datar (al-‘urwah al-dunya). Banyak air dapat diperolehi di gurun ini daripada perigi-perigi tua yang selalu menjadi tempat perjumpaan kafilah. Di sana, terdapat suatu kawasan padang yang luas yang dikelilingi bukit-bukit batu dan telah dijadikan pasar (suq). Setiap tahun orang Arab berhimpun di pasar itu untuk menjalankan perniagaan, serta mengadakan pertandingan membaca puisi dan lain-lain kegiatan seperti yang dilakukan di pasar ‘Ukkaz. Di Badr juga juga menjadi salah sebuah tempat dimana berlakunya peperangan di antara kaum muslimin dengan musyrikin Makkah, iaitu dikenali sebagai “Perang Badar” yang merupakan tajuk bagi kerja kursus Fiqh Sirah saya bagi kali ini. Peperangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah.

2) SEJARAH PEPERANGAN BADAR

            Perang badar merupakan peperangan yang pertama berlaku dalam sejarah Islam.       Perang badar dianggap sebagai peperangan yang terpenting dalam Islam kerana kesan peperangan itulah yang menentukan masa depan Islam dan umat Islam di Madinah. Didalam peperangan ini, tentera Islam telah mencapai kemenangan, meskipun bilangan mereka hanya berjumlah 300 orang berbanding dengan tentera Musyrikin Makkah, yang berjumlah 950 orang. Kisah kemenangan ini disebut didalam al-Quran dalam  surah al-Imran ayat 123-126. Jumlah tentera Musyrikin Makkah diketahui oleh baginda melalui cara halus dengan menyoal dua orang hamba tentang jumlah unta yang disembelih dalam sehari untuk dimakan oleh tentera Musyrikin Makkah. Baginda menganggarkan jumlah mereka sekitar 1000-900 kerana dalam sehari sebanyak sembilan atau sepuluh unta dibunuh untuk dimakan.

            Dalam peperangan ini, ramai pemimpin Quraish Makkah telah terbunuh di antaranya Abu Jahal. Banyak juga di antara mereka yang ditawan. Orang-orang tawanan Quraish yang berilmu pengetahuan telah dijadikan pendidik bagi mendidik kanak-kanak Islam membaca dan menulis. 
            Pada pertengahan bulan Jamadil Awal tahun kedua Hijrah, satu maklumat diterima di Madinah bahawa suatu kafilah sedang dalam perjalanan dari Makkah ke Syria di bawah pimpinan Abu Sufyan. Nabi pergi ke Zat al-Asyirah untuk memburu kafilah itu dan tinggal di sana hingga awal bulan berikutnya tetapi beginda s.a.w tidak berjaya menemui mereka. Waktu kembalinya kalifah itu hampir dapat dipastikan kerana kafilah Quraisy biasanya kembali dari Syria ke Makkah di awal musim gugur.

            Menurut sebahagian riwayat, Nabi mengutus ‘Adi, Talhah bin Ubaidillah dan Sa’id bin Ziad untuk mengumpulkan maklumat tentang jumlah dan rancangan perjalanan kafilah, jumlah pengawalnya dan jenis-jenis barang dagangannya. Maklumat yang diterima iaitu kafilah itu merupakan satu kafilah yang besar dan semua orang Makkah mempunyai bahagian dalam barang-barang dagangannya. Selain itu,pemimpin kafilah adalah Abu Sufyan dan pengawalnya sekitar 40 orang dan barang dagangan diangkat oleh seribu ekor unta yang nilainya sekitar 50000 dinar.
Disebabkan kaum Quraisy telah menahan harta kaum Muhajirin yang sekarang tinggal di Madinah, maka wajarlah pula apabila  kaum muslimin menahan juga barang dagangan mereka. Apabila mereka tetap berdegil menahan harta kaum muslimin yang berhijrah  maka sebagai balasan, kaum muslimin mesti merebut harta dagangan mereka sebagai rampasan perang. Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w berseru kepada para sahabatnya, “Hai manusia! Itu kafilah Quraisy. Kamu boleh keluar dari Madinah untuk merampas harta mereka. Mungkin keadaan kamu akan lebih baik.”

Dalam keadaan itu, Nabi Muhammad s.a.w meninggalkan Madinah bersama 313 orang di bulan Ramadhan tahun kedua hijrah untuk menawan harta orang Quraisy yang berkhemah di tepi perigi Badar. Ketika pergi ke Syria, Abu Sufyan telah menyedari bahawa Nabi telah mengejar kafilahnya. Abu Sufyan tidak meneruskan perjalanannya. Dia tidak ada pilihan lain kecuali memberitahu orang Quraisy tentang bahaya yang mengancam kafilahnya. Justeru itu, dia mengupah seorang penunggang kuda yang tangkas bernama Zamzam bin ‘Ammar al-Ghifari dan memberinya arahan supaya pergi ke Makkah dan memberitahu para pemimpin Quraisy serta pemilik barang untuk mengawal dan melindungi kafilah daripada serangan kaum muslimin. Zamzam segera pergi ke Makkah dan sesuai dengan perintah Abu Sufyan, Zamzam memotong kedua-dua telinga untanya, menghancurkan hidungnya, memasang pelananya secara terbalik menghadap ke atas, mengoyak bajunya di depann dan belakang. Hal ini menyebabkan semangat penduduk Makkah untuk berperang memburu  kecuali Abu Lahab. Bapa saudara Nabi ini mengupah ‘Ash bin Hisyam dengan upah 4000 dirham untuk pergi bertempur atas namanya. 

Tentera muslimin dan tentera Quraisy bertemu di Lembah Badar. Jumlah tentera muslim hanya 313 orang,82-86 berhijrah, 61 orang terdiri daripada kaum Aus dan 170 orang terdiri daripada kaum Khazraj. Mereka hanya mempunyai dua ekor kuda milik Az-Zubair bin al-'Awwam dan Al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, 70 unta yang seekor untuk dua atau tiga orang bagi menunggang alternatif. Rasulullah s.a.w sendiri dan 'Ali dan Murthid bin Abi Murthid Al-
Ghanawi juga masing-masing mempunyai seekor unta
. Berbeza dengan bilangan tentera Quraisy yang tiga kali ganda lebih besar. Kaum muslimin tidak mempunyai senjata yang mencukupi. Alat pengangkutan mereka terdiri daripada tujuh puluh ekor unta dan beberapa ekor kuda sedangkan musuh mereka mempunyai kekuatan padu untuk menjatuhkan Islam. 

            Nabi Muhammad s.a.w berkhemah di lorong utara Badar di kaki bukit yang bernama al-‘Urwa al-Dunya.Prinsip ketenteraan dan taktik peperangan dengan cara mengetahui keadaan musuh merupakan rahsia kejayaan bagi sesebuah pasukan. Pasukan Islam mengambil tempat sesuai dengan prinsip-prinsip ini. Setiap gerakan yang dapat membuka rahsia tidak dilakukan.
Kemuncak bagi peperangan ini berlaku bermula apabila Aswad al-Makhzumi, yang merupakan seorang yang panas baran melihat tempat air yang dibina oleh kaum muslimin, kemudian dia bersumpah akan melaksanakan salah satu daripada tiga perkara, iaitu meminum air dari tempat itu, menghancurkannya atau terbunuh kerananya. Dia kemudiannya keluar dari barisan kaum kafir lalu menemui ketua tentera muslimin iaitu Hamzah berdekatan kawasan air itu, lalu timbul perkelahian di antara mereka. Hamzah menetak kakinya hingga putus. Untuk memenuhi sumpahnya dia berusaha mencapai bekas hingga mati. Kejadian ini menyebabkan peperangan yang tidak dapat dielakkan berlaku.

Menurut tradisi Arab klasik, sebagai mukadimah peperangan selalunya didahului oleh perang tanding. Setelah kematian Aswad al-Makhzumi, tiga orang perajurit Quraisy yang gagah berani keluar dari barisannya lalu mencabar kaum muslimin untuk bertarung. Mereka terdiri daripada dua orang bersaudara iaitu Utbah dab Syaibah bin Rabi’ah serta Walid bin Utbah. Ketiga-tiganya bersenjata lengkap. Sambil berseru dengan lantang, mereka melarikan kudanya di medan pertempuran dan mencabar lawan-lawannya untuk bertempur.

Tiga pahlawan daripada kalangan Ansar iaitu ‘Auf, Ma’uz dan Abdullah bin Rawahah muncul dari barisan kaum muslimin. Utbah membantah untuk bertarung dengan mereka kerana menyedari mereka berasal dari Madinah bukan Makkah. Kemudian, Rasulullah mengarahkan untuk bertukar ketiga-tiga pahlawan itu dengan Ubaidah, Hamzah dan Ali. Akhirnya, ketiga-tiga tentera Islam ini berjaya membunuh ketiga-tiga kafir Quraisy setelah melalui peperangan yang hebat.Setelah matinya para pejuang Quraisy, serangan secara besar-besaran pun dimulakan. Orang-orang Quraisy menyerang secara berkelompok. Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan agar kaum muslimin supaya tidak menyerang terlebih dahulu, sebaliknya bersedia memerhatikan gerak maju musuh dengan panah.
Dalam pertempuran ini, 14 orang sahabat gugur sebagai syuhada, 6 daripada Muhajirin manakala 8 daripada Ansar. Dalam kalangan Quraisy, 70 orang mati dan 70 lain ditawan. Di antara yang ditawan itu termasuklah para tokoh mereka iaitu Nazar bin Harith, Uqbah bin Muith, Abu Gurrah, Suhail bin ‘Amar, ‘Abbas dan Abu al-As.Para syahid Badar dikuburkan di satu sudut medan pertempuran. Diriwayatkan bahawa peperangan itu berakhir pada waktu tengah hari ketika kaum Quraisy melarikan diri dan sebahagiannya ditawan. Para syuhada memperolehi ganjaran syurga sebagaimana  yang baginda riwayatkan dalam sebuah hadith.

Menurut hukum Islam, para tawanan perang adalah menjadi hamba kaum muslimin dan dapat dimanfaatkan menurut kemampuannya. Namun dalam kes perang Badar, orang-orang terpelajar dinyatakan boleh bebas apabila mereka telah berjaya mengajar membaca dan menulis kepada 10 orang anak lelaki Islam. Yang lainnya boleh pula memperolehi kebebasan dengan membayar tebusan yang berjumlah antara 1000 hingga 4000 dirham. Orang miskin boleh dibebaskan tanpa membayar sebarang tebusan.

            Dengan kemenangan tentera Islam di Badr, maka kedudukan Negara Islam yang diasaskan oleh Nabi di Madinah semakin bertambah kukuh dan mantap. Kemenangan orang Islam di Badr menyebabkan kaum musyrikin Makkah menuntut bela pada tahun yang berikutnya.


3) PENGAJARAN

1. Dalam semua kegiatan ketenteraan, pengumpulan maklumat merupakan langkah pertama ke arah kemenangan. Apabila panglima tentera tidak dapat mengetahui kekuatan musuh, maka dengan mudah mereka akan dapat dikalahkan oleh musuh.

2. Tanda-tanda kemenangan kaum muslimin dari awal lagi mula dapat dilihat walaupun pada jumlahnya sedikit. Kaum muslimin yang berjuang dengan keimanan dan keteguhan serta ketabahan hati mereka akhirnya memperolehi kemenangan dengan bantuan yang diberikan oleh Allah. Hendaklah kita memohon pertolongan kepada-Nya dalam melakukan apa sahaja perkara.

3. Kita sebagai pengikut perlulah memiliki sifat patuh dan taat pada ketua kita selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’ sepertimana dalam peperangan ini, para sahabat mengikut segala arahan baginda sehingga umat Islam memperolehi kemenangan berkat kesabaran mereka.

4. Pemimpin perlu memiliki sikap berpandangan jauh dalam melakukan sesuatu perkara sepertimana baginda yang mengambil keputusan  mewajibkan setiap tawanan yang ingin bebas perlu mengajar sekurang-kurangnya 10 orang anak-anak Islam. Hal ini menunjukkan pemikiran baginda untuk melahirkan umat Islam yang bijak pandai pada masa akan datang untuk membangunkan Islam.

5. Pengajaran dari peperangan ini juga menunjukkan bahawa kaum Quraisy tidak bersatu padu.  Ini terbukti apabila ada beberapa puak yang menarik diri sebelum perang terjadi.  Dengan ini sebagai orang Islam kita harus bersatu demi untuk mencapai kemenangan.

4) KOMENTAR

            Terdapat banyak nilai yang dapat diambil daripada peristiwa Perang Badar untuk diplikasikan dalam kehidupan kita pada hari ini. Antaranya kita sebagai rakyat perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan keamanan negara kita daripada dikuasai oleh musuh luar. Selain itu, sebagai seorang pemimpin, perlulah memiliki sikap berpandangan jauh untuk kebaikan dan kemajuan negara seperti mana yang ditunjukkan oleh Baginda dalam peristiwa peperangan ini. Tambahan lagi, kita perlulah mempunyai perancangan dan strategi dalam melakukan apa sahaja tindakan sebagai contoh taktik peperangan yang digunakan oleh Baginda akhirnya mereka memperolehi kejayaan.

5) RUJUKAN

1. Abu Mazaya al-Hafiz, Sejarah Lengkap Nabi dan Rasul dalam al-Quran (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication, 2008, cetakan ke-2)
2.Mahayudin Hj. Yahaya, Eksiklopedia Sejarah Islam (Bangi: Penerbitan Adabi, 1986, Jilid I)
3. Safi-ur-Rahman Al-Mubarak puri, Ar-Raheeq al-Makhtum Biography of the Noble Prophet s.a.w  (Saudi Arabia Pakistan : Maktaba Dar-us-Salam, 1996, cetakan ke-1)
4.Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad s.a.w pengajaran dan pedoman
5.الأستاذ عطية عبد الرحيم عطيةّ، عدة المجاهدين في الكتاب والسنة (القاهرة: المجلس الأعلى للشؤن الإسلامية،ط1، 1400 م- 1979 م)
6. الدكتور سهيد زكّار، أربعة كتب في الجهاد من عصر الحروب الصليبية (دمشق-حلبوني: ميع الحقوق محفوظة، 2007 )
7. لابن سعد، غزوات الرسول اللة وسراياه (بيروت: دار بيروت، 1401ه- 1981م )
8. الدكتور مصطفى السباعى رحمه اللة، السيرة النبوية دروس وعبر (دار التوزيع والنشر الإسلامية )



Wednesday, 31 July 2013

Pesanan Murabbi dalam kita berorganisasi dengan berlainan jantina


Bismillahirrahmanirrahim,
Salam ramadhan kareem buat semua insan-insan yang dimuliakan dalam dirinya Iman dan Islam.. Dalam kita menempuhi kehidupan seharian, kita tidak pernah terlepas dalam berurusan dengan mereka yang bernama 'manusia' sama ada ia lelaki mahupun wanita. Benarlah, ia bukti betapa kita manusia yang lumrahnya saling memerlukan. Namun, dalam kita bergerak kerja, ada hati yang perlu dijaga, ada pergaulan  yang perlu diawasi, ada tindakan yang perlu dikawal terutama bila kita bergerak kerja dengan berlainan jantina agar kelak fitnah kepada agama tidak akan berlaku. 

Setiap yang kita lakukan, biarlah kita tahu KENAPA dan MENGAPA kita mesti melakukannya. Suatu nikmat yang besar tatkala Dia sudi memberi kefahaman kepada kita dalam sesuatu urusan. Tertanya-tanya juga diri ini, penjagaan ikhtilat (perhubungan) antara lelaki dan perempuan yang bagaimana Islam inginkan, perkara apa yang boleh bawa kepada fitnah dalam gerak kerja dan sebagainya..

Alhamdulillah, baru-baru ini DIA izinkan diri ini memperolehi jawapan bagi merungkai segala pertanyaan yang bermain-main di benak hati ini daripada seorang murabbi dalam sebuah program ceramahnya di kampus penulis baru-baru ini. Masih terinyang-inyang lagi kata-kata beliau;

"Lumrah yang lazim kita dengari sang ketua akan berkahwin dengan 
sang penolongnya bukan? sang s/u dan tim. s/u nya dan sebagainya.. benarkah ia berlaku?? 
benar tapi kenapa??
kerana bentengnya tidak dijaga dengan sebaiknya..
ingatlah, lelaki dan wanita itu umpama magnet yang saling menarik, maka perlu ada penebat di tengahnya.. dan penebat itu namanya TAQWA..
jangan robohkan benteng itu..
dengan TAQWA, perasaan, hati dan segala tindak tanduk kita akan terjaga kerana kita merasakan Allah melihat kita..
rasa kehambaan dalam diri akan menjaga kita.. 
jagalah dan peliharalah ia demi memperolehi keberkatan dan keredhaan dariNya bagi amanah yang kita lakukan.."

------------------------------------------------
Jawapannya, jagalah nilai TAQWA itu. Bukanlah tujuan penulis untuk menidakkan ketentuan jodoh itu tapi apa yang ingin penulis highlightkan, pelihara kesucian hati kita agar kelak tidak timbulnya penyakit hati itu kerana hati kita ini sangat sensitif sifatnya dan ia lah raja dalam diri kita. Maka tak akan timbulnya masalah perlu jaga jarak hingga beberapa meter kalau dalaman kita terpelihara. Moga-moga Dia sentiasa mengawasi dan menunjuk jalan bagi setiap tindakan yang kita lakukan dalam menjalani kehidupan seharian. Kepada siapa lagi yang ingin kita tunjukkan kalau bukan kepada DIA.. Moga dengan amanah yang Dia beri, memberi kita peluang dan ruang untuk terus memperbaiki diri. 

Ada insan yang bertanya, bagaimana mahu menjadi 'mawar yang berduri' seperti yang di war-warkan andaikata kita setiap hari perlu berurusan dengan sang ajnabi?? siapa kata kita tidak boleh dan tidak mampu menjadinya?? tiada yang mustahil andai kata kita punya PRINSIP dalam diri.. andaikata prinsip kita nak jaga akhlak demi mak ayah kita, maka pertahankanlah ia bilamana dalam kita berurusan dengan ajnabi.. binalah PRINSIP dalam diri kita dan pertahankannya. yakinlah, setiap apa yang kita lalui dalam seharian, semuanya telah DIA rencanakan dengan sebaiknya.. maka laluilah ia dan teruslah memperbaiki diri demi menjadi individu muslim yang diredhaiNya..dengan AMANAH kepada agama akan menguatkan kita.. "Jadilah kita pemuda dan pemudi harapan Islam".

Salam Tarbiah. Wallahua'lam.




Tuesday, 2 April 2013

Latifah As-Shuli, Pendamping Sang Suami Di Medan Perjuangan



:: L.A.T.I.F.A.H.  A.S.-S.H.U.L.I.::

Seindah nama diberi…

Setabah itu insan ini…

Lahirnya tidak minta menjadi disegani,

Jauh sekali disanjung tinggi,

Namun, dipilihNya menjadi pendamping disisi insan yang gagah berdiri,

Yakni Imam As-Syahid Hassan Al-Banna  menjadi pendamping diri,

Dalam era perjuangan kini..


Benarlah disebalik pemuda yang hebat, pasti akan ada wanita yang mengagumkan..

Beliaulah kekuatan hati sang suami,

Tatkala fitnah ditabur disana sini,

Mendidik si anak Wafa, Saiful Islam, Sana, Roja, Wafa, Halah dan Istisyhad  dengan seikhlas hati,

Hingga tatkala kini, lahirlah mereka si soleh dan solehah yang sangat disegani,

Dalam dunia  Islam hari ini,

Tanggal 36 tahun usia masjid dibina bersama sang suami,

Akhirnya, pergilah insan ini,

Meninggalkan dunia yang fana ini…

Moga2 Islam akan terus gagah berdiri,

Dek sumbangan insan hebat ini..

Ameen..

………………………………………

Mutiara dalam diri insan mulia, zaujah Imam As-Syahid Hasan Al-Banna…

·        Kepercayaan yang tinggi kepada sang suami

·        Rela berkorban akan kepentingan diri demi kerja dakwah suami

·        Pendamping setia amanah dakwah suami

·        Menjadikan rumah istana buat sang suami

·        Menjadikan semua kader-kader dakwah sang suami umpama anak sendiri

·        Menjalankan kerja dakwah suami tatkala setelah kewafatannya


Kata-kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna:

“Perempuan itu sebahagian daripada sebuah bangsa. Bahkan bahagian yang paling mempengaruhi dan memberi peranan besar bagi HIDUP nya suatu bangsa…”


Konklusinya, wanita juga mempunyai peranan yang sangat penting dalam gerak kerja dakwah Islam.. hal ini jelas terbukti tatkala Asma turut terlibat dalam perancangan hijrah Nabi. Menunjukkan kepada kita bahawa muslimat/wanita juga turut memainkan peranan yang penting dalam sesebuah organisasi dalam menyumbangkan idea dan sebagainya… teruslah berjuang wahai insan yang bergelar wanita… kita adalah sayap kiri dalam perjuangan agama Allah..TAKBIR!!







Thursday, 1 November 2012

Cerpen: Sesuci Hidayah


Bismillahirrahmanirrahim..

“pak cik, rokok sekotak”, kata azman kepada Pak Ahmad ketika di kedai runcitnya.

“aku x tahu la nak cakap apa dah dengan kau ni man. Kau tu baru 19 tahun, bawah umur lagi. Cubalah jangan merokok sebab kau pun tahu ia membahayakan kesihatan. Pak cik bukan tak nak jual kat kau man tapi melalui inilah satu-satunya rezeki dapat pak cik perolehi untuk bagi anak bini pak cik makan”, bebel Pak Ahmad kepada Azman. Sememangnya satu kampung telah sedia maklum dengan anak muda Azman yang amat dikenali dengan sikap malasnya untuk belajar dan asyik melepak sahaja.

“pak cik nie cakap banyak la, jual je la. Lagipun, saya sakit nanti bukannya mintak pak cik yang bayarkan kos hospital pun”, balas azman yang tidak tahan mendengar bebelan pak Ahmad.

------------------------------------------------------

“Azman,Azman, bila la kau nak datang ke sekolah semula ha?”, soal Norman kepada Azman.

“kau tahu kan STPM dah nak dekat. Cubalah kau fokus sikit. Lagipun, kalau result kau ok dapatlah kau masuk u nanti man”, nasihat rakannya kepada Azman. Benarlah, betapa sahabat itu pencorak siapa kita kelak kerana sahabat itu cermin buat diri kita. Renunglah siapa sahabat kita selama ini, adakah dia membawa kita kembali kepadaNya atau sebaliknya…

“yela,yela nanti aku datang la sekolah”, balas azman.

Tit…tit.. (satu mesej diterima)

“maaf ganggu azman, ni sy Humaira, sahabat awak. Sy cuma nak mintak awak datanglah semula ke sekolah. Apa salahnya awak belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga awak berjaya, mesti semua orang akan berbangga dengan awak azman. Percayalah… wassalam.

“pelik…”

“kenape pulak humaira nie tiba2 ja hantar mesej kat aku? Nasihat pulak tu.. setahu aku la kn, dia nie bukannya suka mesej pn dengan lelaki terutama orang mcm aku nie..”, ngomel azman yg pelik dengan mesej yang baru diterimanya.

Humaira, seorang calon pelajar STPM yg juga turut sekelas dengan Azman. Beliau juga seorang pelajar biasa yang dalam berusaha memperbaiki dirinya. Walaupun dalam jurusan bukan agama, ia tidak mematahkan semangat Humaira untuk mendalami ilmu agama kerana tekadnya dalam hati “Bukan pelajar jurusan agama sahaja layak masuk Syurga..”!!




“eh, kau tahu x semalam humaira mesej aku. Dia bagi kata2 semangat kat aku suruh datang sekolah bro..”, bagitahu azman kepada rakannya semasa rehat di kantin sekolah.

“wah,wah, beruntung kau man. Ntah2 humaira tu jatuh hati dengan kau agaknya man…”, respon hamdan setelah mendengar cerita azman.

Tatkala itu, berbunga hati azman bilamana dia merasakan humaira sudah jatuh hati padanya. Jujurnya, beliau sendiri sebelum ini selalu mendengar cerita mengenai humaira. Walaupun hanya bertudung biasa, tapi dia punya keindahan akhlak  yang baik yang membuatkan ramai orang disekelilingnya menyukai beliau.

“beruntung aku kalau dapat humaira”, monolong azman dalam hatinya. Tekadnya kini, dia akan belajar bersungguh-sungguh seperti yang diinginkan humaira agar kelak dia dapat buktikan kepada humaira yang beliau juga boleh berjaya.

Tit..tit..(satu mesej diterima)

Riang hati azman tatkala itu bilamana humaira yang menghantar mesej tersebut.

“salam azman, ada ceramah agama di surau. Yuk la pegi..”

Bergegas azman menyiapkan dirinya untuk ke Surau Ar-Rahmah yang terletak berhampiran rumahnya. Belum pernah lagi beliau menjejakkan kakinya ke surau itu sebelum ini. Namun, hanya kerana ajakan dari humaira, mudah sahaja kakinya melangkah pergi ke surau  tersebut…

----------------------------------

Setelah 5 bulan berlalu..

“man, aku tegok kau nie dah lain la sejak beberapa bulan nie kau berkawan dengan humaira. Aku tengok kau ni dah jadi ahli masjid nampaknya dan dah tak melepak lagi dengan kiteorang..”, tegur hamdan, teman rapat azman. Beliau dan rakan-rakannya yang lain merasai perubahan besar yang berlaku dalam diri azman.

“apa yang berubahnya hamdan?? Aku biasa je macam azman yang dulu cuma sekarang nie sejak aku berkawan dengan humaira, dia banyak ajar aku untuk kembali kepada apa yang sepatutnya aku ingin capai dalam hidup nie. Jujurnya, aku rasa tenang bila pegi masjid dan tak lagi dengan cara aku merokok. Lagipun, humaira ada bagitahu aku yg merokok tu tak baik untuk kesihatan dan dia pun tak suka orang yang merokok…”, balas azman bersahaja.

“nampaknya kau nie memang dah betul2 macam kena bomoh dengan cinta humaira nampaknya ya man. Hati-hati man takut2 suatu hari nanti humaira tinggalkan kau. Aku bukan apa, aku cuma takut kau berubah hanya sebab humaira ja man..”, nasihat norman pula kepada sahabatnya.


“insyaAllah jangan risau la, agaknya mungkin humaira yang akan sedih kalau aku tinggalkannya kelak”, balas azman yang tidak mengerti apa yang dia cuba untuk sampaikan.

Benarlah kita akan diuji dengan apa yang kita perkatakan.. berhati-hatilah dalam berkata sesuatu kerana lidah itu sememangnya lebih tajam daripada mata pedang.

-----------------------------------

Setelah keputusan STPM  diumumkan…

Tit..tit..(satu mesej diterima)

“salam azman, tahniah ya dapat 4.00 flat. Sy bangga dengan awak”. Gembira azman atas ucapan yg diberikan oleh humaira kepadanya..

“awak nak sambung ke mana selepas ini humaira?? Yuk kita belajar di u yang sama nak??”, balas azman.

“maaf azman, sy dah x belajar lagi selepas ini di Malaysia. Alhamdulillah jodoh sy dah sampai. Sy akan berkahwin bulan depan dengan pilihan umi sy dan setelah itu sy akan ikut suami sy belajar di Yaman. Jemput lah datang nanti ya kenduri sy..^_^”,

Terduduk azman tatkala membaca mesej yang dihantar humaira. “jadinya, selama ini dia tak pernah langsung la ya sukakan aku??” “kenapa dia baik sangat pada aku sebelum ini??”, pelbagai persoalan yang menari-nari di benaknya tatkala itu. Hilang seluruh semangat dalam hidupnya setelah mengetahui berita mengenai perkahwinan humaira itu.


“azman, tempoh hari masa kenduri walimah humaira, dia ada mintak aku bagi surat ini kepada kau. Kau bacalah ya..”, pinta hamdan kepada azman. Sayu hatinya melihat kesedihan yg dialami oleh sahabatnya itu.

Assalamualaikum,
Buat  sahabatku Azman. Ketika dan saat ini, mungkin sy sudah pun selamat berlepas ke bumi Yaman. Sy yakin dan percaya, pastinya awak tertanya-tanya kenapa sy berbuat baik pada awak selama ini bukan?? Mesti awak beranggapan sy sukakan awak?? Benar bukan?? Sebenarnya azman, jujur sy katakan yg sy sygkan awak sebagai saudara semuslim. Sy pernah mendengar ceramah daripada seorang ustaz bahawa katanya “Hidayah itu milik Allah. Dan ia datang dalam bentuk apa sekalipun tanpa kita duga.. dan beruntunglah seseorang itu yang berjaya menarik saudaranya kembali kepangkuan  syariat yang Islam ajar…” salahkah sy ingin mengajak awak kembali kepada ajaran Islam?? Tatlala melihat awak, sy yakin dalam diri sy yg awak boleh berubah menjadi seseorang yg lebih baik.. Sy sedar sy juga masih belajar dan sy cuma ingin awak berubah dan merasai bagaimana indahnya hidayah kurniaanNya itu buat kita.. berubahlah azman dan ajaklah sahabat2 awak untuk turut sama berubah. Sy tahu awak ada keistimewaan dalam diri.. sy mohon maaf atas segalanya.. wassalam..-)



“Dan aku beroleh hidayahNya  melaluimu sebagai wasilahnya humaira….”, menitis air mata azman ketika itu. Barulah beliau sedar akan silapnya beliau dalam menilai keikhlasan humaira untuk membimbingnya ke arah kebaikan. Beliau merasakan humaira menyukainya namun sebaliknya humaira benar-benar ikhlas membantunya untuk berubah..terima kasih ya Allah hadirkan beliau dalam hidupku walaupun hanya seketika cuma..”,munajat azman didalam hatinya.

TAMAT..

-----------------------------------------

Dari penulis, cerita ini hanyalah sebuah cerita yg mungkin kadangkala ia sedikit sebanyak ada juga berlaku dalam hidup kita. Penulis mohon beribu kemaafan buat semua pembaca yang penulis kasihi kerana bahasa2 yang digunakan dalam penulisan kali ini agak kasar mengikut keadaan semasa demi menyedapkan sebuah jalan cerita. Janganlah diamalkannya dalam kehidupan seharian kalian ya ^_^.

Buat para hati yang sedang membaca entri kali ini, bersyukurlah dengan hidayah yg telah Allah kurniakan dalam diri kita dan ahli keluarga kita. Kita bukan sesiapa tapi kita mulia kerana Islam yg ada dalam diri kita. Jadilah kita islam yang bukan diwarisi namun benar2 difahami akan maksud Islam itu sendiri iaitu salamat dan sejahtera.

Buat mereka yg ingin berubah dan masih mencari-cari cahaya itu, carilah selagi mampu. Indah  bilamana kita letakkan Allah dalam hati kita. Ingatlah, bilamana kita berubah kerana seseorang, perubahan itu tidak akan kekal panjang namun bilamana kita berubah keranaNya, insyaAllah kita akan istiqamah walau besar sekalipun ujian yang mendatang kerana ujian2 tersebut hanyalah sebuah ujian yg didatangkan olehNya untuk meningkatkan lagi tahap iman kita kepadaNya.. baik bukan Allah kepada kita ^^??  Kita tak perlukan lagi cinta manusia dan kita tak akan lagi kecewa bilamana dikecewakan dengan cinta manusia. Ingatlah, surah ar-ra’du ayat 28 mafhumnya “ hanya dengan mengingati Allah, jiwa kita akan tenang…” 




Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar memberi taufiq dalam amalan kita serta menganugerahkan keikhlasan dalam mengerjakannya. Di samping itu kita sentiasa beramal dan istiqamah dalam  hidup...

“Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, nescaya Allah Subhanahu
Wata’ala, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian
akan dikembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah Subhahahu Wata’ala
menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan.”
(Surah Al-Taubah: Ayat 105)

“Paksalah diri melakukan sesuatu kebaikan itu.. insyaAllah keikhlasan itu akan datang sedikit demi sedikit tanpa kita sedari hingga satu saat kita akan merasakan setiap apa yang kita lakukan itu, hanyalah semata-mata untuk mendapatkan redhaNya sahaja tanpa balasan apa-apa…tatkala itulah kemanisan iman dapat kita rasai…”
Wallahua’lam…;-)




Saturday, 24 March 2012

Kelembutannya Menakluk HATI...


             Alhamdulillah selaut kesyukuran buat-NYA kerana masih memberi  kekuatan buat penulis untuk terus bernafas pada hari ini…. Bilamana kita berfikir dan terus berfikir, barulah kita sedar sebenarnya masih punya silap dalam diri kita tanpa kita sedari… kadang-kadang setelah diketuk barulah terjaga dari khanyalan hidup ini yang sentiasa merasakan “akulah yang terbaik”. Kadang-kadang Allah datangkan kepada kita seseorang itu untuk menegur kesilapan kita, mungkin ia adalah teguran dari-NYA buat kita… ya Allah, sayangnya DIA pada kita kan  agar  kita tidak terus tersasar dari landasan yang selayaknya… moga diri kita akan terus berada dibawah bimbingan-NYA dalam setiap apa yang kita lakukan… untuk entri kali ini, tergerak di hati penulis untuk berkongsi sebuah kisah yang berlaku pada salah seorang sahabat penulis ketika penulis dan dia sama-sama menuntut disalah sebuah sekolah agama yang terdapat di tanah air ini… moga ia menjadi didikan tarbiah dalam diri kita..



              Ceritanya bermula bila mana sahabat penulis ni seorang yang kurang tarbiah dalam dirinya tapi bukan bermakna dia jahat ya. Cuma dia kurang memperaktikkan apa yang telah dipelajari.. sarung lengan atau bahasa mudahnya “armsock”, bukanlah pilihan pemakaiannya setiap hari.. alasannya panas.. 
              Nak jadikan cerita suatu hari didalam kelas, tanpa disedarinya seorang sahabat lelakinya terpandang lengan sahabat ini akibat tidak memakai armsock… bukan lelaki itu sengaja untuk melihat dan bukan kerana sahabat penulis sengaja untuk menampakkannya tapi semuanya berlaku secara tidak sengaja.. tapi, amat mengejutkan apa yang berlaku… apa ya??

               Macam nie, lepas sahaja habis sesi persekolahan, lelaki tersebut memanggil sahabat penulis untuk berjumpa dipintu belakang kelas secara personal tetapi dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah. Maksud penulis lelaki tersebut berada diluar dan sahabat penulis berada didalam kelas dan mereka bercakap dalam keadaan pintu kelas sebagai tabirnya… agak terkejut pada sahabat  penulis bilamana lelaki tersebut mohon maaf pada sahabat penulis atas sebab dia telah terlihat aurat sahabat penulis tanpa sengaja…  menangis sahabat penulis bila mana hebatnya cara tarbiah dan teguran lelaki tersebut yang amat lembut…dan kata-kata ringkasnya berharap  sahabat penulis menjaga auratnya  akhirnya membuka pintu hatinya untuk berubah kerana  sememangnya dia  terkenal dengan seorang yang “keras kepala” . tapi dalam konteks ini, agak-agak siapa yang patut dipersalahkan?? Yang melihat atau yang tidak menjaga aurat?? Fikir-fikirkan..
Subhanallah, hebatnya tarbiah dan keluhuran akhlak lelaki tersebut, akhirnya sahabat penulis terus mengekalkan pemakaian armsock sehingga hari ini dan menjadi seseorang yang jauh lebih baik dari sebelumnya… 

Dalam cerita ni sebenarnya, banyak konklusi yang dapat kita ambil sebenarnya.. dalam dua aspek yang pertama lelaki tersebut dan kedua sahabat penulis.. 

1. untuk lelaki tersebut, sedarkah kita bahawa lelaki tersebut berjaya mengamalkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah saw dalam konteks mentarbiah orang disekeliling kita.. ?? sebenarnya itulah yang wajar kita sebagai dai’e pada hari ini terapkan dalam diri dengan mentarbiah cara yang lembut… ada kalian pernah lihat Rasulullah saw mentarbiah dengan cara yang kasar?? Hatta dengan musuh Islam sekalipun Baginda menggunakan pendekatan yang bijak tanpa perlukan kekerasan… jika difikirkan kembali, kita sendiri termasuk diri penulis lebih mudah untuk terima suatu teguran itu dengan cara yang lembut.. benar kan?? Jadi pesanan penulis buat diri penulis dan semua yang bergelar dai’e, 

                “tatkala anda ingin memikat hati mad’u (orang yang yang didakwah), anda harus ingat bahawa anda adalah seorang dai’e, bukan seorang ulama’ atau fuqaha’. Tatkala anda berdakwah, anda harus ingat bahawa anda sedang memberikan hadiah kepada orang lain, maka anda harus mempertimbangkan hadiah apa yang patut anda berikan dan bagaimana cara memberikannya. Jangan kerana cara anda memberikan hadiah tersebut salah, menjadikan mad’u anda membenci hadiah tersebut…sesungguhnya kelembutan air mampu menghakis tebing  yang kukuh dan juga melekukkan batu yang pejal. Tenaga padu yang dihasilkan oleh air itu mampu memecahkan empangan yang kebal. Begitu juga hati manusia yang keras mampu dilenturkan dengan kelembutan budi pekerti…"

                Kita sebagai daie, jangan pernah putus asa bila mana mad’u atau orang yang kita ingin ajak kepada kebaikan itu menjauhi kita… teruskanlah berdakwah disamping berdoa.. jauhilah menjadi “dai’e yang mengharapkan hasil yang cepat” tapi terus dan teruslah berusaha .. insya’allah, Allah pasti akan membuka pintu hati mad’u kita sama ada hari ini atau 10 tahun akan datang.. yang pastinya, bersabarlah… dan jauhilah menegur secara sindirin atau terbuka untuk mengelakkan seseorang itu terasa… lihatlah cara lelaki tadi, menegur dalam keadaan personal kan?? Kerana sejujurnya seseorang wanita itu malunya amat tinggi jika dibandingkan dengan lelaki.. dia akan rasa terhina bilamana dirinya ditegur di khalayak ramai kerana dia akan rasa dirinya seperti dimalukan walaupun  bukan niat sebenar orang yang menegur itu untuk memalukannya… tapi, dalam konteks ini akan membawa kesan lebih parah bila mana wanita itu akan terus mambenci dan tidak akan menerima teguran tersebut kesan daripada berdendam… hebatkan kesannya ya..

2. yang keduanya ialah sahabat penulis atau dalam konteks tarbiah, ia adalah mad’u (orang yang diajak ke arah kebaikan).. kita sebagai orang yang pernah ditegur, usahlah sombong untuk menerima silap diri kita.. ya, yang menegur kita itu pun manusia dan dia ada salah diri tapi jangan kerana dia menegur kita, kita berusaha mencari salah dia dan kita tegur dia semula… bukanlah itu caranya wahai diri.. tapi, terimalah dengan hati yang terbuka dan bersangka baiklah.. kita ambil kata-kata teguran tersebut dan berubahlah…  kemudian, bila kita telah baiki kesilapan diri kita, kita tegur dia juga dengan berhikmah bukan atas alasan untuk membalas tetapi kerana nilaian ukhwah kita bersaudara sesama Islam kerana agama itu nasihat kan?? 

 Sesungguhnya tidak ada orang yang sempurna di permukaan bumi ini melainkan penghulu sekalian Nabi dan Rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.. oleh itu, wajarlah kita wahai diri untuk menerima nasihat dan teguran.. orang yang dapat menerima nasihat dan teguran dikategorikan sebagai manusia yang beruntung dan bertuah..

3. sekadar tambahan dari cerita tadi, menggunakan pintu sebagai tabir bagi mengelakkan fitnah… mungkin nampak kelakar kan??  Sebenarnya tidak sahabat2 sekalian… sebenarnya itulah yang diamalkan sejak zaman Baginda lagi bila mana Saidatina Aisyah ingin mengajarkan hadith pada para sahabat, beliau menyampaikan disebalik tabir… tapi, dalam keadaan hari ini macam mana nak buat tabir?? Takkan nak bawa kain kemana-mana sahaja?? Itulah persoalan yang bermain diminda kalian kan?? 
Jawapannya mudah dari penulis iaitu kalian bayangkan tabir itu wujud dengan cara menjaga pandangan dan jarak kalian… mudah kan??  Bila mana kita berurusan dengan yang berlainan jantina, berusahalah  menjaga pandangan kita  kerana pandangan itu panahan syaitan… tak perlu hingga menundukkan kepala tapi cukup menjaga pandangan mata kita daripada liar memandang segalanya… ya, pandangan pertama itu adalah nikmat tapi usah diikuti pandangan yang kedua kerana ianya daripada syaitan…

             Akhir kalam, semoga perkongsian ilmu yang kita perolehi untuk entri kali ini dapat kita amalkan dalam kehidupan kita seharian…penulis akhiri entri kali ini dengan kata-kata muhasabah diri daripada Ibn al-Qayyim katanya:
                “Perjalanan manusia menuju Allah itu seperti seekor burung. Kepalanya adalah cinta kepada Allah. Dua sayapnya adalah perasaan khuatir dan pengharapan… tanpa kepala burung akan mati dan tanpa sayap, mustahil burung dapat terbang…” 
 wallahua’lam…;-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kembaraku di Bumi Allah ini Selama...

Daisypath Happy Birthday tickers

:: Yuk Berbakti Kepada Makhluk-Nya ^_^