Thursday 2 April 2015

Ibrah Dari Sebuah Sejarah : Perang Badar

Sebagai pengenalan,. Perang badar di ambil nama sempena daripada peristiwa yang berlaku di tempat yang bernama Badr. Badr merupakan sebuah bandar kecil di barat daya Madinah, iaitu di pertengahan jalan di antara Makkah dan Syria. Bahagian selatannya tinggi (al-‘Urwah al-Qaswa), sedangkan di bahagian utaranya rendah dan datar (al-‘urwah al-dunya). Banyak air dapat diperolehi di gurun ini daripada perigi-perigi tua yang selalu menjadi tempat perjumpaan kafilah. Di sana, terdapat suatu kawasan padang yang luas yang dikelilingi bukit-bukit batu dan telah dijadikan pasar (suq). Setiap tahun orang Arab berhimpun di pasar itu untuk menjalankan perniagaan, serta mengadakan pertandingan membaca puisi dan lain-lain kegiatan seperti yang dilakukan di pasar ‘Ukkaz. Di Badr juga juga menjadi salah sebuah tempat dimana berlakunya peperangan di antara kaum muslimin dengan musyrikin Makkah, iaitu dikenali sebagai “Perang Badar” yang merupakan tajuk bagi kerja kursus Fiqh Sirah saya bagi kali ini. Peperangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah.

2) SEJARAH PEPERANGAN BADAR

            Perang badar merupakan peperangan yang pertama berlaku dalam sejarah Islam.       Perang badar dianggap sebagai peperangan yang terpenting dalam Islam kerana kesan peperangan itulah yang menentukan masa depan Islam dan umat Islam di Madinah. Didalam peperangan ini, tentera Islam telah mencapai kemenangan, meskipun bilangan mereka hanya berjumlah 300 orang berbanding dengan tentera Musyrikin Makkah, yang berjumlah 950 orang. Kisah kemenangan ini disebut didalam al-Quran dalam  surah al-Imran ayat 123-126. Jumlah tentera Musyrikin Makkah diketahui oleh baginda melalui cara halus dengan menyoal dua orang hamba tentang jumlah unta yang disembelih dalam sehari untuk dimakan oleh tentera Musyrikin Makkah. Baginda menganggarkan jumlah mereka sekitar 1000-900 kerana dalam sehari sebanyak sembilan atau sepuluh unta dibunuh untuk dimakan.

            Dalam peperangan ini, ramai pemimpin Quraish Makkah telah terbunuh di antaranya Abu Jahal. Banyak juga di antara mereka yang ditawan. Orang-orang tawanan Quraish yang berilmu pengetahuan telah dijadikan pendidik bagi mendidik kanak-kanak Islam membaca dan menulis. 
            Pada pertengahan bulan Jamadil Awal tahun kedua Hijrah, satu maklumat diterima di Madinah bahawa suatu kafilah sedang dalam perjalanan dari Makkah ke Syria di bawah pimpinan Abu Sufyan. Nabi pergi ke Zat al-Asyirah untuk memburu kafilah itu dan tinggal di sana hingga awal bulan berikutnya tetapi beginda s.a.w tidak berjaya menemui mereka. Waktu kembalinya kalifah itu hampir dapat dipastikan kerana kafilah Quraisy biasanya kembali dari Syria ke Makkah di awal musim gugur.

            Menurut sebahagian riwayat, Nabi mengutus ‘Adi, Talhah bin Ubaidillah dan Sa’id bin Ziad untuk mengumpulkan maklumat tentang jumlah dan rancangan perjalanan kafilah, jumlah pengawalnya dan jenis-jenis barang dagangannya. Maklumat yang diterima iaitu kafilah itu merupakan satu kafilah yang besar dan semua orang Makkah mempunyai bahagian dalam barang-barang dagangannya. Selain itu,pemimpin kafilah adalah Abu Sufyan dan pengawalnya sekitar 40 orang dan barang dagangan diangkat oleh seribu ekor unta yang nilainya sekitar 50000 dinar.
Disebabkan kaum Quraisy telah menahan harta kaum Muhajirin yang sekarang tinggal di Madinah, maka wajarlah pula apabila  kaum muslimin menahan juga barang dagangan mereka. Apabila mereka tetap berdegil menahan harta kaum muslimin yang berhijrah  maka sebagai balasan, kaum muslimin mesti merebut harta dagangan mereka sebagai rampasan perang. Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w berseru kepada para sahabatnya, “Hai manusia! Itu kafilah Quraisy. Kamu boleh keluar dari Madinah untuk merampas harta mereka. Mungkin keadaan kamu akan lebih baik.”

Dalam keadaan itu, Nabi Muhammad s.a.w meninggalkan Madinah bersama 313 orang di bulan Ramadhan tahun kedua hijrah untuk menawan harta orang Quraisy yang berkhemah di tepi perigi Badar. Ketika pergi ke Syria, Abu Sufyan telah menyedari bahawa Nabi telah mengejar kafilahnya. Abu Sufyan tidak meneruskan perjalanannya. Dia tidak ada pilihan lain kecuali memberitahu orang Quraisy tentang bahaya yang mengancam kafilahnya. Justeru itu, dia mengupah seorang penunggang kuda yang tangkas bernama Zamzam bin ‘Ammar al-Ghifari dan memberinya arahan supaya pergi ke Makkah dan memberitahu para pemimpin Quraisy serta pemilik barang untuk mengawal dan melindungi kafilah daripada serangan kaum muslimin. Zamzam segera pergi ke Makkah dan sesuai dengan perintah Abu Sufyan, Zamzam memotong kedua-dua telinga untanya, menghancurkan hidungnya, memasang pelananya secara terbalik menghadap ke atas, mengoyak bajunya di depann dan belakang. Hal ini menyebabkan semangat penduduk Makkah untuk berperang memburu  kecuali Abu Lahab. Bapa saudara Nabi ini mengupah ‘Ash bin Hisyam dengan upah 4000 dirham untuk pergi bertempur atas namanya. 

Tentera muslimin dan tentera Quraisy bertemu di Lembah Badar. Jumlah tentera muslim hanya 313 orang,82-86 berhijrah, 61 orang terdiri daripada kaum Aus dan 170 orang terdiri daripada kaum Khazraj. Mereka hanya mempunyai dua ekor kuda milik Az-Zubair bin al-'Awwam dan Al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, 70 unta yang seekor untuk dua atau tiga orang bagi menunggang alternatif. Rasulullah s.a.w sendiri dan 'Ali dan Murthid bin Abi Murthid Al-
Ghanawi juga masing-masing mempunyai seekor unta
. Berbeza dengan bilangan tentera Quraisy yang tiga kali ganda lebih besar. Kaum muslimin tidak mempunyai senjata yang mencukupi. Alat pengangkutan mereka terdiri daripada tujuh puluh ekor unta dan beberapa ekor kuda sedangkan musuh mereka mempunyai kekuatan padu untuk menjatuhkan Islam. 

            Nabi Muhammad s.a.w berkhemah di lorong utara Badar di kaki bukit yang bernama al-‘Urwa al-Dunya.Prinsip ketenteraan dan taktik peperangan dengan cara mengetahui keadaan musuh merupakan rahsia kejayaan bagi sesebuah pasukan. Pasukan Islam mengambil tempat sesuai dengan prinsip-prinsip ini. Setiap gerakan yang dapat membuka rahsia tidak dilakukan.
Kemuncak bagi peperangan ini berlaku bermula apabila Aswad al-Makhzumi, yang merupakan seorang yang panas baran melihat tempat air yang dibina oleh kaum muslimin, kemudian dia bersumpah akan melaksanakan salah satu daripada tiga perkara, iaitu meminum air dari tempat itu, menghancurkannya atau terbunuh kerananya. Dia kemudiannya keluar dari barisan kaum kafir lalu menemui ketua tentera muslimin iaitu Hamzah berdekatan kawasan air itu, lalu timbul perkelahian di antara mereka. Hamzah menetak kakinya hingga putus. Untuk memenuhi sumpahnya dia berusaha mencapai bekas hingga mati. Kejadian ini menyebabkan peperangan yang tidak dapat dielakkan berlaku.

Menurut tradisi Arab klasik, sebagai mukadimah peperangan selalunya didahului oleh perang tanding. Setelah kematian Aswad al-Makhzumi, tiga orang perajurit Quraisy yang gagah berani keluar dari barisannya lalu mencabar kaum muslimin untuk bertarung. Mereka terdiri daripada dua orang bersaudara iaitu Utbah dab Syaibah bin Rabi’ah serta Walid bin Utbah. Ketiga-tiganya bersenjata lengkap. Sambil berseru dengan lantang, mereka melarikan kudanya di medan pertempuran dan mencabar lawan-lawannya untuk bertempur.

Tiga pahlawan daripada kalangan Ansar iaitu ‘Auf, Ma’uz dan Abdullah bin Rawahah muncul dari barisan kaum muslimin. Utbah membantah untuk bertarung dengan mereka kerana menyedari mereka berasal dari Madinah bukan Makkah. Kemudian, Rasulullah mengarahkan untuk bertukar ketiga-tiga pahlawan itu dengan Ubaidah, Hamzah dan Ali. Akhirnya, ketiga-tiga tentera Islam ini berjaya membunuh ketiga-tiga kafir Quraisy setelah melalui peperangan yang hebat.Setelah matinya para pejuang Quraisy, serangan secara besar-besaran pun dimulakan. Orang-orang Quraisy menyerang secara berkelompok. Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan agar kaum muslimin supaya tidak menyerang terlebih dahulu, sebaliknya bersedia memerhatikan gerak maju musuh dengan panah.
Dalam pertempuran ini, 14 orang sahabat gugur sebagai syuhada, 6 daripada Muhajirin manakala 8 daripada Ansar. Dalam kalangan Quraisy, 70 orang mati dan 70 lain ditawan. Di antara yang ditawan itu termasuklah para tokoh mereka iaitu Nazar bin Harith, Uqbah bin Muith, Abu Gurrah, Suhail bin ‘Amar, ‘Abbas dan Abu al-As.Para syahid Badar dikuburkan di satu sudut medan pertempuran. Diriwayatkan bahawa peperangan itu berakhir pada waktu tengah hari ketika kaum Quraisy melarikan diri dan sebahagiannya ditawan. Para syuhada memperolehi ganjaran syurga sebagaimana  yang baginda riwayatkan dalam sebuah hadith.

Menurut hukum Islam, para tawanan perang adalah menjadi hamba kaum muslimin dan dapat dimanfaatkan menurut kemampuannya. Namun dalam kes perang Badar, orang-orang terpelajar dinyatakan boleh bebas apabila mereka telah berjaya mengajar membaca dan menulis kepada 10 orang anak lelaki Islam. Yang lainnya boleh pula memperolehi kebebasan dengan membayar tebusan yang berjumlah antara 1000 hingga 4000 dirham. Orang miskin boleh dibebaskan tanpa membayar sebarang tebusan.

            Dengan kemenangan tentera Islam di Badr, maka kedudukan Negara Islam yang diasaskan oleh Nabi di Madinah semakin bertambah kukuh dan mantap. Kemenangan orang Islam di Badr menyebabkan kaum musyrikin Makkah menuntut bela pada tahun yang berikutnya.


3) PENGAJARAN

1. Dalam semua kegiatan ketenteraan, pengumpulan maklumat merupakan langkah pertama ke arah kemenangan. Apabila panglima tentera tidak dapat mengetahui kekuatan musuh, maka dengan mudah mereka akan dapat dikalahkan oleh musuh.

2. Tanda-tanda kemenangan kaum muslimin dari awal lagi mula dapat dilihat walaupun pada jumlahnya sedikit. Kaum muslimin yang berjuang dengan keimanan dan keteguhan serta ketabahan hati mereka akhirnya memperolehi kemenangan dengan bantuan yang diberikan oleh Allah. Hendaklah kita memohon pertolongan kepada-Nya dalam melakukan apa sahaja perkara.

3. Kita sebagai pengikut perlulah memiliki sifat patuh dan taat pada ketua kita selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’ sepertimana dalam peperangan ini, para sahabat mengikut segala arahan baginda sehingga umat Islam memperolehi kemenangan berkat kesabaran mereka.

4. Pemimpin perlu memiliki sikap berpandangan jauh dalam melakukan sesuatu perkara sepertimana baginda yang mengambil keputusan  mewajibkan setiap tawanan yang ingin bebas perlu mengajar sekurang-kurangnya 10 orang anak-anak Islam. Hal ini menunjukkan pemikiran baginda untuk melahirkan umat Islam yang bijak pandai pada masa akan datang untuk membangunkan Islam.

5. Pengajaran dari peperangan ini juga menunjukkan bahawa kaum Quraisy tidak bersatu padu.  Ini terbukti apabila ada beberapa puak yang menarik diri sebelum perang terjadi.  Dengan ini sebagai orang Islam kita harus bersatu demi untuk mencapai kemenangan.

4) KOMENTAR

            Terdapat banyak nilai yang dapat diambil daripada peristiwa Perang Badar untuk diplikasikan dalam kehidupan kita pada hari ini. Antaranya kita sebagai rakyat perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan keamanan negara kita daripada dikuasai oleh musuh luar. Selain itu, sebagai seorang pemimpin, perlulah memiliki sikap berpandangan jauh untuk kebaikan dan kemajuan negara seperti mana yang ditunjukkan oleh Baginda dalam peristiwa peperangan ini. Tambahan lagi, kita perlulah mempunyai perancangan dan strategi dalam melakukan apa sahaja tindakan sebagai contoh taktik peperangan yang digunakan oleh Baginda akhirnya mereka memperolehi kejayaan.

5) RUJUKAN

1. Abu Mazaya al-Hafiz, Sejarah Lengkap Nabi dan Rasul dalam al-Quran (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication, 2008, cetakan ke-2)
2.Mahayudin Hj. Yahaya, Eksiklopedia Sejarah Islam (Bangi: Penerbitan Adabi, 1986, Jilid I)
3. Safi-ur-Rahman Al-Mubarak puri, Ar-Raheeq al-Makhtum Biography of the Noble Prophet s.a.w  (Saudi Arabia Pakistan : Maktaba Dar-us-Salam, 1996, cetakan ke-1)
4.Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad s.a.w pengajaran dan pedoman
5.الأستاذ عطية عبد الرحيم عطيةّ، عدة المجاهدين في الكتاب والسنة (القاهرة: المجلس الأعلى للشؤن الإسلامية،ط1، 1400 م- 1979 م)
6. الدكتور سهيد زكّار، أربعة كتب في الجهاد من عصر الحروب الصليبية (دمشق-حلبوني: ميع الحقوق محفوظة، 2007 )
7. لابن سعد، غزوات الرسول اللة وسراياه (بيروت: دار بيروت، 1401ه- 1981م )
8. الدكتور مصطفى السباعى رحمه اللة، السيرة النبوية دروس وعبر (دار التوزيع والنشر الإسلامية )



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kembaraku di Bumi Allah ini Selama...

Daisypath Happy Birthday tickers

:: Yuk Berbakti Kepada Makhluk-Nya ^_^